Bahan-bahannya :

1. 3 batang terung panjang sederhana besar (terung bulatpun boleh)
2. Cili merah - 6-8 biji (boleh tambah 3-4 cili padi jika mahu pedas)
3. Bawang merah - 6 biji
4. Bawang putih - 4 biji
5. Bawang besar - Setengah/ 1 biji dihiris kasar (kalau mahu)
6. Sedikit ikan bilis atau boleh diganti dengan setengah kiub bilis (kalau serbuk dalam 1 sudu kecil)
7. Sedikit gula dan garam

#Bahan-bahan ini boleh disesuaikan banyaknya mengikut banyak mana terung yang dimasak. Practice and adjust will make perfect, insyaallah.

Cara Memasaknya :

Terung tersebut bolehlah dihiris menyerong atau menegak, kecil atau besar mengikut kreativiti masing-masing. Semasa memotong lihat juga kalau ada yang busuk di dalamnya dan perlu dibersihkan. Biasanya terung panjang jarang yang rosak, terung bulat yang mudah rosak di dalamnya. Kami suka terung yang panjang kerana yang bulat sedikit keras jika tidak dimasak lama. Setelah dibasuh, terung digoreng dengan sedikit minyak atau boleh juga diibakar menggunakan kuali yang tidak melekat. Setelah masak, asingkan ketepi.

Dengan menggunakan minyak yang sama, kita bolehlah menumis bahan-bahan lain. Kalau minyak banyak, keluarkan dahulu sebahagian. Bawang merah, bawang putih dan cili merah ditumbuk atau dimesin kasar (jangan mesin terlalu hancur seperti mesin cili kering).

Tumiskan kesemua bawang tersebut, masukkan juga kiub ikan bilis/ ikan bilis dan bawang besar. Api jangan terlalu besar dan dikacau-kacau sehingga masak dan nampak sedikit garing. Bolehlah tambahkan garam dan gula secukup rasa. Semua bahan dalam kuali dikacau agar sebati dan akhirnya dimasukkan terung-terung tadi. Gaul balikkan terung dan bahan tumisan dan masakan anda sudahpun selesai. Bolehlah dihidangkan buat keluarga tersayang.